Pada tahun 1980-an, AJK telah bermesyuarat dan merancang untuk mendirikan sekolah ini di tapak tanah sendiri yang berhampiran Masjid Jamek, Chemor. Pada tahun 1989, sekolah agama rakyat baru telah siap dibina dengan kos perbelanjaannya sebanyak RM 25000.00 hasil daripada ehsan orang ramai dan juga wakil parlimen Y.B Datuk Yahya bin Shafie, Y.B Hj. Mohd Yusuf bin Hj. Ariffin dan wakil Adun Y.B Datuk Hj. Muhd Taib bin Abdul Hamid. Bangunan ini terdiri daripada 3 bilik darjah dan 1 bilik guru. Pada masa itu, guru yang dilantik mengajar kelas KAFA hanya dua orang guru sahaja. Guru besar yang dilantik adalah Ustaz Osman bin Ahmad, guru Pendidikan Islam SK Haji Mahmud pada masa itu.
Pada tahun 1990-1995 Sekolah Agama Rakyat menuju ke era kemajuan. Penubuhan Tadika Islam persendirian dibuka dan pendaftaran murid 5 dan 6 tahun seramai 35 orang murid. Bayaran yuran bagi pelajar tadika ialah RM 6.00 sebulan. Elaun guru dari yuran murid hanyalah RM 5.00 manakala RM 1.00 adalah untuk makanan murid. Elaun guru dibayar sebanyak RM 70.00, tetapi bergantung kepada kutipan yuran bulanan murid. Guru pada masa itu masih lagi 2 orang. Satu bangunan yang mempunyai dua kelas untuk Tadika Islam, bilik gerakan dan stor telah didirikan.
Pada tahun 1993, Tadika Islam didaftarkan di bawah JAIPk dengan diiktirafkan sebagai TADIKA ISLAM PERAK MASJID JAMEK CHEMOR. Lantikan AJK Tadika Islam adalah dari jemaah pengurusan SRAR Al-Junid juga pada masa itu. Guru besar SRAR Al-Junid pada tahun tersebut telah dilantik pada 1.8.1993 iaitu Ustaz Abdul Rani bin Mohd Salleh (Pesara Penghulu Chemor). SRAR Al-Junid cawangan juga dibuka - SRAR cawangan Batu 9, Taman Mas, Ulu Chemor dan Kampung Cik Zainal (Surau Al-Amin). Bilangan murid kian bertambah hingga 100 ke atas. Setiap program dan penyertaan ihtifal murid turut disertai. Peserta wakil penulisan khat sehingga ke peringkat negeri telah menunjukkan kejayaan pada sekolah ini. Pelajar yang telah berjaya dengan cemerlang dapat melanjutkan pelajaran ke asrama penuh.
Program yang dijalankan pada tahun 1994 - lawatan sambil belajar, suai kenal antara murid dan AJK cawangan SRAR Taman Mas. Peperiksaan UPKK telah menjadi pusat kepada 7 buah sekolah yang terlibat. Ihtifal peringkat sekolah dan sukan tahunan diadakan bersama Tadika Islam setiap kali program dijalankan.
Tahun 1995 ke era kemajuan dan kecemerlangan untuk menuju wawasan 2020. Penyusunan AJK 1995-1996 dilantik baru. Bilangan guru SRAR Al-Junid termasuk cawangan seramai 10 orang. Bilangan murid pula seramai 394 orang. SRAR Al-Junid telah menerima Anugerah Kecemerlangan KAFA contoh negeri Perak daripada JAKIM. Tahun 1996 bilangan murid berdaftar seramai 385 orang dan SRAR cawangan Taman Mas telah ditutup dan diambil alih oleh AJK cawangan Taman Mas. Kutipan yuran pelajar telah dinaikkan sebanyak RM 5.00 dan elaun guru dibayar sebanyak RM 120.00.
Tahun 2002-2006 penyusunan perlantikan sebagai Jemaah pengurusan dilantik semula. Tenaga pengajar ada seramai 11 orang. Guru Besar ialah Ustaz Abdul Rani b Mohd Salleh dan Penolong Kanan ialah Ustazah Husni binti Zainuddin. Bilangan murid seramai 380 orang.
Calon UPKK : Tahun 2002 - 32 orang
: Tahun 2003 - 29 orang
: Tahun 2004 - 25 orang
: Tahun 2005 - 41 orang
: Tahun 2006 - 47 orang
Murid yang berjaya dalam peperiksaan UPKK diberikan hadiah berupa wang. Pelajar 8A mendapat RM 300.00, 7A mendapat RM 200.00 dan 6A mendapat RM 100.00. Ini adalah untuk menggalakkan agar murid tersebut bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh.
Pada tahun 2007, pihak AJK sekolah memohon bangunan tambahan kerana bilangan murid semakin bertambah. Pada tahun 2009, bangunan baru yang mempunyai 5 bilik darjah dan satu bilik pejabat sekolah telah disiapkan. Pada bulan April 2009, bangunan baru dirasmikan oleh Y.B Dato' Husni bin Hanadzlah. Pada awal bulan Jun, sebahagian murid dipindahkan ke bangunan baru. Perjalanan kelas mempunyai dua sesi iaitu pagi dan petang. Sesi pagi bagi darjah 1, 2 dan 3 manakala sesi petang bagi darjah 4, 5 dan 6.
No comments:
Post a Comment